mcmc
Maklumat Am

Maklumat Am

             Felda Lembah Klau terletak dalam Daerah Raub, suatu kawasan sebelah tenggara bandar Raub melalui Jalan JKR, C149 sejauh 36 kilometer. Melalui jalan yang sama, menghala ke barat, bandar Bentong terletak kira-kira 32 kilometer dan Kuala Lumpur 102 kilometer. Manakala jika menghala ke sebelah timur melalui Lebuhraya Karak dan Pekan Lanchang, 82km ke Temerloh dan 216km ke Kuantan.
 
            Tanah rancangan ini berada di Mukim Gali, kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong dan dalam kawasan Parlimen Raub. Secara relatifnya, Felda Lembah Klau dikelilingi kawasan hijau dengan alam semula jadi dengan persekitaran kawasan pertanian. Secara umumnya, bentuk rupa bumi di sini berkeadaan lembah dan berbukit, terdapat beberapa cerun yang memanjang dari utara ke selatan menyusuri lembangan Sungai Klau, Sungai Pertang, Sungai Temir dan beberapa batang anak sungai lain. Selain itu, tanah rancangan ini berada pada 82 hingga 268 meter dari aras laut.  Fizikal ketinggian kawasan tanah rancangan ini adalah di zon tanah tinggi. Hal ini kerana tanah-tanih dan bentuk muka bumi di sini masih dipengaruhi oleh persekitran Gunung Benom.
 
           Sebelah utara, menghala ke Raub, terdapat satu kawasan rata sehingga ke kaki Gunung Benom. Kawasan ini dimiliki oleh pekebun kecil dengan mengusahakan beberapa jenis tanaman kontan, pokok durian, jambu madu, limau manis, dokong dan sebagainya. Manakala di kawasan berbukit yang berhampiran dengan Gunung Benom ditanam dengan sayur-sayuran tanah tinggi.
 
          Sebelah timur, bersempadan dengan peringkat 7, ialah sempadan Hutan Simpan Lakum. Hutan simpan tersebut seluas 63 ribu hektar meliputi persempadanan Daerah Jerantut, Temerloh dan Raub. Kawasan hutan simpan itu kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi, flora dan fauna. Kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan penyelidikan antarabangsa di bawah kawalan UNESCO. Selain itu, kawasan ini juga diwartakan sebagai kawasan rekreasi pelancongan terkawal yang diuruskan oleh Krau Wildlife Management Plan, anak syarikat Jabatan Perhilitan Negara. Manakala, di selatan dan barat, bersempadan dengan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lembah Klau dan Felda Plantation Krau Dua.
 
 Demografi Felda Lembah Klau
 Jumlah Penduduk: 2,984 orang
 Jumlah purata isi rumah: 5-9 orang